Assalamu'alaikum
Warahmatullahi Wabbarakaatuuh...
Suatu ketika, ada
seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri
yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri
keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan
lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga
mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan
sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua
temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari
dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan
isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri
yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini
mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah
tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui
masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan
isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering
membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur
semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu
mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun,
pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si
pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal
tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam
hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal,
aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia meminta semua
isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah
yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah
sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri
keempatnya terdiam. “Tentu ! saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan
pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi.
Jawapan itu sangat
menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris
hatinya. Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku
pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau
ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup
begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati”. Pedagang begitu
terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya
kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat
masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu.
Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab
perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh
menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah
buatmu.” Jawapan itu seperti kilat yang menyambar.
Si pedagang kini
berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu.
Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan
setia bersamamu.” Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati
isteri pertamanya yang berkata begitu.
Isteri pertamanya
tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si
pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat
aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”
Teman, sesungguhnya
kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI KEEMPAT adalah
tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh
kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera
apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita
menghadapNYA.
ISTERI KETIGA adalah
status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi
kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah
memilikinya.
ISTERI KEDUA pula
adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka,
mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan
menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA
ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan
melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya
jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi
kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak.
Jangan sampai
kita menyesal kemudian hari!…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar